Dalam kalangan rakyat Malaysia, kepulauan Gili Trawangan dan Gunung Rinjani adalah dua produk pelancongan yang tidak asing lagi. Malah setiap bulan ada sahaja kumpulan dari negara ini bertandang ke pulau itu untuk mendaki gunung dan bersantai di pulau.
Penulis, antara yang terpanggil untuk meneroka keindahan bumi Lombok. Sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari pesawat tambang murah yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, penulis berasa terpegun melihat kehijauan yang mengelilingi kawasan lapangan terbang.
Pemandangan sekitar yang penuh kedamaian dihiasi dengan landskap semula jadi gunung-ganang dan sawah padi luas terbentang amat menenangkan hati dan mata memandang.
Kehadiran penulis ke Lombok disambut mesra pemandu pelancong yang dikenali sebagai Ekka. Percaya atau tidak, Ekka baru berusia 25 tahun, namun bijak mengurus pelancong.
Sejurus tiba, kami terus dibawa ke jeti Teluk Nara yang terletak kira-kira 25 kilometer dari lapangan terbang untuk ke Gili Trawangan. Kami menaiki bot laju yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke pulau itu. Setibanya di seberang, kami tidak membuang masa dan terus bersiar-siar menikmati keindahan pulau itu yang dikelilingi pantai-pantai indah.
Penulis dan rakan-rakan menginap selama dua hari di Gili Trawangan. Sepanjang berada di pulau itu, kami dapat melihat budaya orang Lombok yang mudah mesra dan melayan pelancong dengan baik.
Soal makanan tidak perlu dirisaukan apabila anda berada di Lombok kerana majoriti penduduknya beragama Islam dan makanan halal mudah didapati.
Di Gili Trawangan, kami tidak melepaskan peluang menyaksikan matahari terbenam sambil menikmati jus buah-buahan yang segar, bergambar di buaian ikonik pulau itu dan menaiki kereta kuda atau lebih dikenali sebagai ‘cidomo’.
Suasana malam di Gili Trawangan meriah dengan pelbagai gerai makanan dibuka, menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan dan juga menu barat.
Selain Gili Trawangan, terdapat dua lagi pulau berdekatan iaitu Gili Air dan Gili Meno yang lebih tenang dan sesuai untuk percutian keluarga. Selepas dua hari menghabiskan masa di Gili Trawangan, kami menaiki semula bot laju menuju ke daratan iaitu ke Senggigi.
Di Senggigi, Ekka membawa kami ke tempat-tempat menarik antaranya pantai Tanjung Aan. Di situ, kami disajikan dengan air laut yang menghijau dan pasir putih halus.
Tanjung Aan berdekatan dengan Bukit Merese yang mana kami berpeluang melihat keseluruhan kawasan pantai Tanjung Aan dan jika cuaca baik, Kepulauan Bali boleh dilihat dengan jelas.
Sepanjang berada di Lombok, kami tidak pernah berasa jemu melihat panorama yang terbentang di hadapan mata, selain meneroka kekayaan budaya masyarakat Sasak.
Penulis dan rakan-rakan juga berpeluang menggayakan baju tradisional masyarakat Sasak di Perkampungan Sade dan melihat masyarakatnya menghasilkan kain tenun secara tradisional.
Menu paling popular di Lombok, tidak lain tidak bukan adalah Ayam Bakar Taliwang yang pasti membuat telinga anda berasap!. Ini kerana masakan itu sangat pedas. Namun, tidak rugi mencuba makanan tersebut.
Biarpun belum ada pembangunan moden seperti di kebanyakan bandar utama Indonesia, namun Lombok menjanjikan kepuasan bercuti menerusi flora dan faunanya. Jadi, apa tunggu lagi? - ADLINA